Tuesday 30 June 2009

Gunung Tebu Menggamit Kenangan

GUNUNG TEBU(SUGAR CANE MOUNTAIN),JABI TERENGGANU

Gunung Tebu atau dikenali dengan Sugar Cane Mountain, adalah salah sebuah gunung yang menarik dan mudah untuk didaki dengan ketinggian 3104ka.(1026m) Permandangan yang berlatarbelakangkan Laut China Selatan serta Pulau Perhentian dapat dilihat dari puncak sekiranya cuaca cerah dan tidak berkabus. Gunung Tebu adalah gunung yang unik kerana terdapat sebuah kubur di puncak gunung. Ia juga sebagai tempat pesilat-pesilat untuk bertapa.

Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan, Daerah Besut yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit serta Hutan Konifer di Kemuncak Gunung Tebu. Pelbagai jenis spesies flora dan fauna yang jarang kita lihat sebelum ini terdapat disini. Bagi pengunjung yang inginkan aktiviti mencabar, satu denai hutan disediakan menuju ke puncak Gunung Tebu sesuai untuk memulakan pendakian dari sini.

Di Hutan Lipur Lata Belatan, pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti berkhemah, bersiar-siar dan trekking. Selain itu, pelbagai kemudahan lain yang disediakan termasuklah kemudahan asas seperti gerai, astaka serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik.

Terletak 24 km dari Pekan Jertih melalui Jalanraya Kuala Terengganu-Jertih, 118 km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari pekan jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan.

Baru-baru ini seramai 20 kakitangan Kompleks Kota Darul Naim anjuran Kelab Sukan dan kebajikan Kakitangan Kota Darul naim telah menjalani latihan pendakian gunung tebu sebagai persiapan untuk XPDC Kinabalu pada ogos 2009 bagi memantapkan tahap kecergasan dan keyakinan para peserta . Permulaan mendaki dari kawasan perkelahan Lata Belatan, Jabi jam 1030 pagi dan untuk sampai ke puncak gunung tebu terpaksa melalui jarak perjalanan sejauh 7088M menyusuri tebing sungai ,merentasi titian kayu yang merentangi anak sungai, mendaki tebing yang curam, melalui sungai cakah dua(sungai Y). Kebetulan pula pada hari tersebut hujan turun agak lebat namun para peserta telahpun bersedia dengan peralatan baju hujan,pendakian tetap diteruskan sehinggalah peserta semua sampai di tempat rehat di kawasan yang di sebut Batu Mat Hasan.Setelah berehat seketika para peserta meneruskan perjalanan mendaki yang semakin sukar,jalan licin dan kabus tebal namun semua cabaran itu tidak mematah keazaman dan tekad untuk sampai di kemuncak gunung tebu pada ketinggian 3104 kaki. Tebing semakin tinggi dan curam sebelum sampai kepuncak gunung. Para peserta tiba di puncak gunung tebu pada jam 01.30 tgh.

Kami berehat dan makan bekalan yang di bawa dengan begitu berselera, mungkin kerana lapar dan keletihan, tapi di wajah masing-masing terbayang kepuasan dan bangga kerana Berjaya sampai ke puncak gunung tebu,dapat melihat panorama pemandangan yang cukup indah dan suasana yang menyamankan dan tenang.

Tepat jam 3 petang peserta bertolak turun dengan berhati-hati kerana curam yang tinggi dan licin. Sepanjang perjalanan mendaki dan turun sempat juga menghayati kebesaran dan keagungan Allah Maha Pencipta. Alam semula jadi mampu memberi ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja. Betapa hebat dan agungnya Allah Taala mencipta alam semula jadi untuk di hayati dan di nikmati oleh manusia. Rugilah kalau kita mensia-siakan kejadian Allah taala yang begitu unik dan anggun ini. Semua ini sebagai bukti tanda kebesaran Allah SWT. Para peserta selamat tiba di kawasan perkelahan Lata Belatan jam 0530 ptg dengan selamatnya. Setelah menikmati kedinginan air sungai di Lata Belatan, selesai solat berjemaah kami terus berangkat pulang ke Kota Baharu dengan debaran dan cabaran yang menanti di gunung kinabalu pada ogos nanti.

Hutan Lipur Lata Belatan, adalah starting point untuk mendaki gunung Tebu. Di sana terdapat resort dan pondok Jabatan Hutan. Dari Hutan Lipur Lata Belatan untuk ke puncak gunung Tebu hanya mengambil masa 5 hingga 6 jam perjalanan. Perjalanan bermula dari pondok Jabatan hutan dan melintasi sebuah jambatan gantung. Dari situ setiap pendaki akan menyusuri ke hulu sungai. Keadaan sungai yang berbatu besar serta berpasir halus adalah sangat bersih dan mempunyai air yang berwarna hijau seperti air tebu. Keadaan perjalanan landai dan rata. Dari jambatan gantung menyusuri sungai hanya mengambil masa selama 30 minit untuk sampai ke satu kawasan tapak perkhemahan di mana terdapat cabang sungai yang dipanggil Sungai Y. Sungai Y adalah last water point untuk sampai ke puncak. Disarankan agar mengambil sedikit air hanya untuk minuman sepanjang perjalanan ke puncak.

Selepas melintasi Sungai Y, kita perlu mendaki dan mula memasuki hutan Lipur Gunung Tebu. Kecerunan pendakian hanya sekitar 45 darjah sahaja. Sekitar pendakian, kita akan sampai di satu kawasan yang mempunyai baru besar yang berketinggian lebih dari 5 meter. Batu ini dikenali dengan nama Batu Mat Hassan. Dari Batu Mat Hassan untuk ke puncak hanya mengambil masa selama 2 jam sahaja. Sebelum sampai di puncak, kita akan berjumpa dengan satu kawasan lereng yang boleh melihat permandangan sekitar Gunung Tebu. Tempat ini dikenali dengan Jendela Dunia.(Jendela Pandang)

Di puncak Gunung Tebu jarang pendaki akan bermalam kerana, tiada sumber air di sana Setelah turun dari puncak akan keihatan satu tongkol batu yang sangat besar. Batu tersebut seperti bola yang telah dikerat dua. Sepanjang perjalanan menurun kami menikmati pemandangan dan menghayati kebesaran dan keagungan Allah Maha Pencipta. Alam semula jadi mampu memberi ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja. Betapa hebat dan agungnya Allah Taala mencipta alam semula jadi untuk di hayati dan di nikmati oleh manusia. Rugilah kalau kita mensia-siakan kejadian Allah taala yang begitu unik dan anggun ini. Semua ini sebagai bukti tanda kebesaran Allah SWT.

No comments:

Post a Comment