Thursday 9 July 2009

Lima prinsip asas social

Lima prinsip asas social Samada seseorang rakyat itu sedar atau tidak, ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial (basic social values) yang rakyat harap negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah : 1.security (keselamatan) 2. freedom (kebebasan) 3. order (peraturan) 4. justice (keadilan) 5. welfare (kebajikan). Sebagai muslim saya mungkin menambah penegakan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55: (maksudnya) Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Apabila asas-asas ini hilang, samada kesemua atau sebahagian daripadanya, maka kita akan melihat kegusaran rakyat dan tidak puashati yang akan kedengaran di sana-sini. Di saat itu, mana-mana sahaja gerakan yang cuba menyeru kembali kepada asas-asas ini samada dalam bahasa kampung atau bandar, maka rakyat akan menyokongnya. Rakyat awam itu mungkin tidak tahu secara akademik tentang asas-asas ini, tetapi perasaan dan naluri kerakyatan mereka itu sentiasa menuntut agar asas-asas ini dijamin untuk mereka. Lebih tinggi pengetahuan dan pendedahan ilmu yang dimilki oleh seseorang rakyat akan menjadikan mereka lebih sensitif tentang asas-asas ini. Mari kita lihat keperluan asas-asas ini bagi kehidupan rakyat dalam sebuah negara, sebelum melihatnya di sudut antarabangsa. Rakyat sesebuah negara inginkan keselamatan mereka terjamin dari ancaman samada luar ataupun dalam. Mereka perlukan keselamatan negara yang kukuh dan kerajaan yang teguh. Keselamatan harian juga mesti terkawal. Malaysia kini jenayah saban hari meningkat. Rakyat hidup dalam ketakutan terhadap nyawa dan harta benda mereka. Pembunuhan, penyeksaan, rompakan, kecurian dan berbagai lagi jenayah yang mengancam keselamatan rakyat. Kedai dan kediaman selalu menjadi sasaran rompakan dan kecurian. Ini menyebabkan rakyat merasakan kerajaan tidak teguh dan gagal berfungsi dengan baik. Apatahlagi jika kepercayaan rakyat terhadap pihak keselamatan juga tergugat. Kemudian, selain kemerdekaan negara, rakyat perlukan kebebasan dalam kehidupan. Hak-hak asas mereka dalam kepercayaan, pemilikan, pendidikan, pendapat dan seumpamanya hendaklah terjamin. Memang, kebebasan ada hadnya sesuai dengan norma dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah negara, jika tidak rosaklah keadaan. Namun had tersebut hendaklah ditetapkan atas kepentingan negara, bukan individu politik yang berkuasa. Apabila kebebasan asas mereka dirampas, rakyat akan melihat kerajaan sebagai musuh, bukan sebagai pelindung. Demikian rakyat harapkan peraturan dan keadilan agar berfungsi secara baik dan saksama. Peraturan yang baik hendak teguh dan berfungsi serta berjalan untuk semua secara tidak berat sebelah. Layanan untuk setiap rakyat hendaklah adil. Jangan ada yang terlepas dari peraturan atau undang-undang yang ditetapkan disebabkan kedudukan dan politik. Tiada sultan atau raja atau penguasa politik yang boleh mengatasi undang-undang dan peraturan yang disepakati. Jangan ada yang naik pangkat atau mendapat sesuatu pemberian daripada kerajaan tanpa mengikut peraturan. Di sudut undang-undang, setiap pesalah hendaklah dihukum secara adil tanpa berat sebelah ataupun zalim. Apabila kecacatan ini berlaku, kepercayaan rakyat akan hilang dan mula menganggap kerajaan sebagai tidak amanah dan tidak adil. Seterusnya rakyat mengharapkan kerajaan menjamin kebajikan mereka. Kerajaan hendaklah berusaha meletakkan polisi yang baik memboleh rakyat hidup dengan selesa di sudut ekonomi dan keperluan asas kehidupan di zaman kini. Kerajaan mesti menyuburkan perkembangan ekonomi, memberikan peluang yang saksama, mengatasi kemiskinan, menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan dan perubatan terutama bagi yang tidak berkemampuan. Begitu seterusnya.

No comments:

Post a Comment